top of page

Media Permata: Ahli Bintang Search hulur bantuan

22 Okt 2021

Media Permata

22 Okt 2021

Ahli Bintang Search hulur bantuan
October 23, 2021
Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Dengan matlamat untuk memberi bantuan kepada mereka yang paling terjejas oleh pandemik COVID-19, ahli Bintang Search telah mengumpulkan bekalan daripada syarikat seperti Indofood, Purion, imagine, Yili dan SKH sepanjang minggu lalu.
“Kami menyediakan bekalan makanan dan air kepada tukang gunting rambut, salun dan pekerja-pekerja disebabkan perniagaan mereka telah terjejas dengan teruk,” kata Eksekutif Bintang Search, Dayang Siti Kamaluddin.
Aktiviti berkebajikan ini adalah untuk memberi bantuan kepada pelbagai masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang mengalami kehilangan pendapatan akibat gelombang kedua COVID-19. Banyak industri tidak dapat menjalankan perniagaan selama lebih dua bulan.
Tukang gunting rambut tempatan, Usen, yang turut mengikuti uji bakat untuk Bintang Search 2021 berkongsi, “Kedai saya telah ditutup sejak Ogos dan ia satu-satunya sumber pendapatan saya. Bekalan ini amat diperlukan dan memberi kami harapan.”
Menurut Dayang Siti Kamaluddin, adalah penting untuk memberi kembali kepada masyarakat yang telah menyokong acara itu.
Bintang Search telah menerima lebih daripada 1 juta tontonan secara kolektif, merentasi pelbagai demografi termasuk komuniti asing di Brunei.
Selain daripada kempen amal, Bintang Search telah menyediakan sokongan berterusan melalui kelas vokal dalam talian, kelas kecergasan maya dan tunjuk ajar solekan kepada ahli muzik Brunei.
Menurut peserta separuh akhir, Awang Mat Fadhil, “Saya sudah banyak belajar sepanjang Bintang Search dan telah bertemu ramai bakat hebat dalam rancangan itu. Walaupun komunikasi kami dijalankan secara maya, kami menjalin hubungan erat selepas melalui perjalanan tiga bulan terakhir bersama.
“Saya secara peribadi berharap dapat bekerjasama dengan artis berkenaan dan mengekalkan semangat ini dalam menghidupkan muzik walaupun selepas acara itu kelak.”
Hujung minggu ini menandakan peringkat separuh akhir Bintang Search di mana dua lagi peserta akan tersingkir. Dengan hanya dua minggu lagi untuk bersaing, pemenang Bintang Search akan diumumkan pada 7 November 2021 depan di saluran OOPs!

bottom of page