top of page

Media Permata: ‘Babu-Nya’ buah tangan terkini Siti Kamaluddin

13 Mei 2020

Media Permata

13 Mei 2020


‘Babu-Nya’ buah tangan terkini Siti Kamaluddin
May 14, 2020

Oleh Norizan Murshid

Sejujurnya sudah begitu lama penulis tidak menonton drama tv tempatan. Ini kerana setiap hari masa yang terluang pasti diisi dengan melayari internet, Facebook, Instagram dan YouTube.

Meskipun begitu, baru-baru ini telah berkesempatan menonton di saluran YouTube sebuah sitkom terbitan Origin Artistic Management arahan Siti Kamaludin bertajuk ‘Babu-Nya’.

Sejujurnya juga, penulis rasa terhibur dengan siri baharu tersebut meskipun hampir kesemua pelakon-pelakon generasi baharu yang menjayakan sitkom (situasi komedi) ‘Babu-Nya’ tidak dikenali oleh penulis. Hanya Mimi Raziah dan Shafie Mostar yang dikenali oleh penulis.

Penulis berpendapat siri yang bercorak komedi dan menggunakan dialek bahasa Brunei Darussalam itu yang diharapkan dan diinginkan oleh penonton tempatan. Dalam masa yang sama, penonton di negara lain juga berpeluang mempelajari bahasa pertuturan rakyat jati Brunei.

Bertepatan dengan istilah sitkom itu sendiri, ‘Babu-Nya’ memaparkan keadaan semasa masyarakat Brunei menjalani kehidupan harian dengan pelbagai isu-isu semasa seperti penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia serta budaya masyarakat masa kini yang gemar menularkan sesuatu berita atau peristiwa yang berlaku. Di dalam sitkom ini juga diperlihatkan langkah-langkah penjarakan sosial dan perniagaan dalam talian berikutan negara masih dalam keadaan wabak virus.

Di atas sebab-sebab itulah yang mendorong Siti Kamaludin ketika untuk menghasilkan sitkom ‘Babu-Nya’ ini.

‘Babu-Nya’ terbitan Origin Artistic Management membariskan artis tempatan yang terdiri daripada Ian Zulkifli sebagai Akmal, Umi Raudhah sebagai Aisha, Farrah Majid sebagai Maya, Amir Rashid sebagai Saufi, Ikhlas Sahfri sebagai Tini, Shafiee Mostar sebagai Yusuf dan Mimi Rahzia sebagai Nora atau Babu.

Sitkom ini diterajui oleh Munji Athirah sebagai penerbit, Siti Kamaluddin sebagai penulis skrip dan pengarah serta Jumat Iskandar juga sebagai penulis skrip dan Chan Man Ching sebagai pengarah aksi.

‘Babu-Nya’ telah mendapat 7,000 tontonan di saluran YouTube pada minggu pertama dimuat naik.

bottom of page